Ada perkara yang akan hilang daripada kita. Percayalah. Kerana tiada yang kekal milik kita. Bahkan, pemilikan kita pun sebenarnya tiada atas dunia ini. Kita tak memiliki. Kita cuma meminjam dan diberi.
Kita diberi dengan rahmat dan kita dipinjamkan dengan rahmat.
Sampai masa, apabila Allah mahu tarik kembali, maka siapa antara kita yang boleh berkata kepada Allah, "Ini aku punya. Jangan ambil".
Suara kita tak cukup kuat untuk membuatkan malaikat menggeletar. Apatah lagi Tuhan untuk takut.
Allah Maha Sempurna. Begitulah juga cinta-Nya. Maha sempurna. Apabila Allah memberi, itu tandanya Dia menguji. Jangan kita mendabik, kononnya Allah beri kerana kita dikasihi. Dan jangan pula kita mengeluh lagi bersedih, bila Allah mengambil, kita dilupa dan dilalai.
Allah memberi kerana cinta-Nya.
Berterima kasihlah kepada Allah, sekalipun atas kegagalanmu. Kerana apalah sangat kehilangan harta, berbanding dengan kehilangan nyawa dan apalah sangat kehilangan nyawa, berbanding dengan kehilangan iman.
Optimislah dengan rahmat Tuhan. Rezekimu telah Allah tentukan. Jangan runsing. Cuma, berusahalah dengan yakin dan persangkaan baikmu, kerana kasih sayang Allah ialah mengikut perkiraan kita.
Kita diperingat agar jangan bersangka buruk sesama manusia tapi jarang diperingat agar tidak bersangka buruk dengan Allah. Maka hari ini saya memperingatkan diri saya atas segala kegagalan dan kelemahan ini, bahawa Allah menurut prasangka kita. Dia tak zalim jauh sekali untuk bersifat kejam.
Sudah sampai masanya, saya menjerit dengan bangganya, "Tuhan, terima kasih atas segalanya"
Saturday, December 8, 2012
"Tuhan, terima kasih atas segalanya"
Posted by ..::aLMutAdAiyiNaH::.. at 3:00 AM 0 comments
Sunday, November 4, 2012
Yang Menjadikannya Besar
![]() |
May Allah Save Our Brothers And Sisters In Syria [kredit] |
Posted by ..::aLMutAdAiyiNaH::.. at 2:48 AM 0 comments
Labels: Dakwah
Saturday, October 13, 2012
Sahabat
Kawan. Sahabat. Rakan. Teman. Perkara yang sama, dengan tingkatan yang mungkin berbeza-beza. Ada yang akrab, yang rapat, dan ada yang biasa-biasa sahaja. Pun begitu, semua ini adalah perkara besar, yang seringkali dianggap kecil. Lantaran itu, kita jadi kurang peduli dengan siapa kita sering berteman, kerana beranggapan semua manusia sama. Yang penting, hati mesti mau baik! Wah, dah jadi macam artis dah kau Jah.
Setiap manusia, jika mahu menjadi manusia yang baik, dia takkan mampu untuk jadi baik secara individu. Dalam satu kumpulan contohnya, atau skop lebih kecil, dalam satu bilik atau rumah, jika semua ahli itu buruk, maka ianya hanya integrasi masa sahaja untuk si baik itu kehilangan warna putihnya. Tidak banyak, sedikit. Tidak sedikit, pasti juga akan ada yang tercemar.
Kerana itu, Rasulullah S.A.W seringkali bersadba tentang sahabat dan kawan. Antaranya ialah apabila Rasulullah membuat perumpamaan dan perbandingan bahwa sahabat itu cermin bagi seorang muslim. Cermin, kita tahu sifatnya bagaimana. Memantulkan imej.
Jika diletakkan bola di depan cermin, imej yang dilukiskan nanti ialah bola juga. Bulat. Tak jadi segi empat. Begitulah manusia. Jika baik sahabatnya, maka secara langsung atau tidak langsung, peribadinya juga akan menurut akan apa yang dipancarkan oleh riak itu.
Tapi ini tak bermakna, kita dilarang bersahabat dengan orang-orang buruk. Tidaklah maksudnya begitu. Adapun yang sebenarnya, di dalam bersahabat ini, ada satu perkara yang sangat besar, yang ulama usul sebutkan sebagai wala' dan bara'.
Jika kita mengaji usul, wala' dan bara' ini ialah satu cabang besar dalam ilmu usul. Ilmu tauhid. Tapi ia juga digunapakai dalam kehidupan sosial kita dalam berhubungan sesama manusia.
Wala' ialah mentaati manakala bara' ialah lawan kepada itu. Maknanya, di antara dua kelompok sahabat kita, antara yang baik dengan yang bermasalah, ada satu antara dua itu, layak dan lebih patut untuk kita berikan kepercayaan, loyal, dan kesetiaan kita.
Itulah dia manusia-manusia yang Allah sebutkan sebagai wa liijah; dan orang-orang beriman.
"Apakah kamu mengira kamu akan dibiarkan begitu sahaja padahal Allah belum mengetahui (belum menguji) orang-orang yang berjihad di kalangan kamu, dan tidak mengambil teman yang setia selain daripada Allah, Rasul-Nya, dan orang-orang beriman. Allah Maha Teliti atas apa-apa yang kamu kerjakan" (At-Taubah ayat 16)
Dalam ayat yang lain pula, Allah melarang kita daripada mengambil orang-orang yahudi dan kristian menjadi teman rapat kita untuk kita berkongsi setiap hal kita, kerana mereka itu golongan yang berpenyakit jiwanya. Bernajis keyakinannya.
Tapi hakikatnya bukan Yahudi dan Nasrani, tapi idealogi, cara berfikir dan cara hidup orang Yahudi dan Nasrani. Itulah tafsiran ulama pada perkataan millah pada ayat 120 surah al-Baqarah. Millah jika diterjemahkan bermaksud agama, tapi jika ditafsirkan ia bermakna suatu yang lebih signifikan daripada sekadar agama. Ini bolej juga jadi orang islam yang berfikiran barat. Inilah dia orang islam, yang hidup cara barat. Cara Yahudi dan cara Nasrani. Mereka juga golongan yang jangan kita berikan ketaatan dan kesetiaan kita pada mereka.
Pun begitu, islam sama sekali tidak menutup ruang untuk kita bersahabat dengan orang yang tidak seakidah dengan kita. Ruang yang sama besar itu juga Allah bukakan kepada kita, untuk kita bergaul dengan orang yang jahat dan fasik, tapi asalkan ia tidak menyebabkan kita makin jauh dengan Allah.
Seorang muslim yang bergaul dengan manusia serta bersabar dengan karenah mereka, adalah lebih baik daripada muslim yang tidak bergaul dan tidak bersabar dengan karenah manusia lainnya (H.R Tirmizi)
Bahkan, adalah lebih utama untuk kita bergaul dengan orang yang saya sebutkan di atas jika kita bergaul dengan maksud mahu berdakwah. Kata Rasulullah S.A.W, jika kita menjadi asbab (penyebab) kepada hidayah Allah masuk ke dalam hati mereka, maka ia adalah jauh lebih berharga daripada ribuan unta merah. Di zaman dahulu, unta merah sangatlah 'rare'. Bukan sekadar jarang-jarang, tapi seekor unta biasapun di zaman Baginda, menyamai nilainya hari ini dengan sebiji kereta mewah.
Dan Rasulullah S.A.W apabila membuat perbandingan, ternyata memaksudkan bahawa jika kita menjadi sebab orang lain dapat hidayah, maka kita seakan-akan telah mendapat kurniaan yang jauh lebih besar berbanding kekayaan-kekayaan yang kita boleh sebut satu per satu atas bumi ini.
Malangnya, setakat hari ini, saya seakan-akan melihat wujud dua suasana. Yang satu, positif dan yang keduanya negetif. Orang yang soleh, apabila mereka masuk ke tengah masyarakat yang buruk, mereka makin membuatkan masyarakat itu soleh.
Dan keduanya, orang yang soleh, tapi apabila dia berada di tengah-tengah masyarakat yang koyak nan rosak, akhirnya dia sendiri turut sama hanyut mengikut gelombang kerosakan.
Ini berlaku, kepada sesiapa sahaja. Baik budak sekolah agama, mahupun anak-anak ustaz yang diterapkan didikan agama. Kerana benar, jika di asrama, ada warden untuk menjaga. Benar, di rumah ada ibubapa untuk mengawal. Tapi jika di luar, jagaan dan pengawasan siapa lagikah yang ada jika bukan kawalan dan pengawasan oleh Allah S.W.T?
Sebiji buah epal yang manis, jika direndam dalam cuka berhari-hari, maka ia akan berubah rasanya menjadi masam. Begitulah perumpamaan manusia. Jika setiap saat dia berada dalam atmosfera yang tidak sihat, maka kita risau iman yang dahulunya sihat dan montel, jadi kurus dan lemah tanpa daya.
Itulah yang kita semua takut dan risaukan.
Jadi, antara mahu dan tidak mahu, kita perlukan kepada perubahan suasana. Ia bukan suatu yang mudah pastinya. Jika kita sendirian, maka hampir pasti ia jadi mustahil. Kerana itu, kita perlu kepada teman-teman yang baik. Yang soleh. Kerana jika misi, visi, obsesi dan cita-cita kita sama, maka kita akan bersama-sama juga bergerak untuk mencapai apa yang kita idamkan.
Jadi, apa cita-cita kita?
Tentunya ialah syurga yang tertinggi.
Sebenarnya ada banyak lagi dalil yang boleh kita petik untuk kita tegaskan lagi kepentingan untuk bersama-sama dengan orang yang soleh. Tapi itu bukan niat saya saat saya menulis artikel ini. Saya cuma mahu menyatakan betapa saya berbesar hati dan bergembira kerana saya masih dikelilingi dengan ramai orang yang soleh. Antaranya, kalian yang membaca. Sejujurnya, saya banyak mendapat kekuatan (hakikatnya kekuatan semuanya datang daripada Allah) melalui semangat kalian.
Selagi ada yang mahu menjadi lebih baik, selagi itulah saya akan menulis. Walau terpaksa mencuri masa, terpaksa mencuri peluang :)
Rasanya, tak pernah terlambat bagi saya untuk saya ucapkan terima kasih kepada kalian.
Harap kasih ini diterima.
Posted by ..::aLMutAdAiyiNaH::.. at 1:00 AM 0 comments
Labels: Sahabat
Sunday, August 19, 2012
Alasan Demi Alasan
Kita membuka kembali lipatan Sirah, dengan cahaya di tengah Kota Madinah menjadi laman ceritanya. Seorang lelaki, namanya Jadd Bin Qais. Saatnya perang Tabuk, dengan lawannya nanti ialah bangsa Romawi. Seruan jihad dilaungkan dan dinyalakan. Longgokan-longgokan infak, diperluaskan. Persiapan perang, digiatkan.
Lelaki itu datang kepada ketuanya. Dengan hati yang melarat menderita, dia berkata kepada lelaki mulia itu, “Ya Rasulullah. Berilah keringanan kepadaku. Sungguh, aku ini manusia yang mudah tergoda dengan kecantikan gadis-gadis Rom. Aku takut, keberadaan aku dalam legasi perang ini akan membuatkan aku terjerumus di dalam fitnah. Takut-takut, aku tak mampu mengawal diriku”.
Lelaki mulia itu berpaling seraya berkata, “Baiklah. Aku izinkan kamu”.
Topeng kemunafikan yang disarung ternyata takkan berjaya membuatkan Tuhan keliru, tersilap dan tidak mengenali makhluk ciptaan-Nya. Sebagai jawapan dari langit, turunlah satu bahasa yang runcing;
Dan di antara mereka (yang munafik itu) ada yang berkata: "Izinkanlah aku (supaya tidak pergi berperang) dan janganlah engkau menjadikan daku dipengaruhi oleh fitnah ". Ketahuilah, mereka telah pun tercebur ke dalam fitnah (dengan dalihan yang dusta itu). Dan sesungguhnya azab Jahannam meliputi orang-orang yang kafir. (At-Taubah 49)
Orang munafik ialah orang yang hidup dalam alasan. Makan berpinggankan alasan. Mandi bersabunkan alasan. Tidur juga beralaskan alasan. Alasan itulah yang menjadi perisai bagi mereka daripada menjauhi kewajipan dan alasan itu jugalah yang membuatkan mereka licik!
Surah At-Taubah benar-benar menjadi salah satu surah favourite untuk saya tadabburi. Salah satu sebab utamanya adalah kerana kepadatan kisah dan pengajaran kepada umat manusia berkenaan dengan satu kelompok manusia yang bersifat musang, dalam kandang ayam.
Orang munafik, apabila datang satu seruan dan perintah untuk mereka meninggalkan kesedapan dan kelazatan dunia menuju kelazatan akhirat, mereka akan berasa berat hati. Bukan hanya hati, tapi juga punggung. Sehabis daya, dipergiatkan dan diperah otak memikirkan helah dan alasan untuk tidak ikut berperang di jalan Allah. Jiwa yang penuh dengan keraguan dan kedustaan, mana mungkin akan sanggup untuk bersusah payah demi agama. Padan muka. Akhirnya, Allah sendiri tidak mahukan manusia sebegitu menjadi hamba-hamba yang istimewa dan dijanjikan ‘istana’ derita buatnya di punggung neraka.
Apa yang saya nak sebutkan di sini ialah sifat orang munafik yang suka membuat alasan untuk meninggalkan kewajipan dan meneruskan kemaksiatan, sebenarnya sedikit demi sedikit menitis masuk ke dalam peribadi kita.
Di zaman Rasulullah, orang munafik ada yang cerdik dan ramai yang bodoh. Yang cerdik, antaranya ialah Abdullah Bin Ubay. Kerana hasutannya, 300 orang yang pada awalnya turut serta dalam pasukan prajurit islam, berundur. Yang kurang cerdik pula, golongan yang datang kepada Rasulullah dan membuat alasan, “Rumah kami terbuka dan tidak dijaga. Kerana itu, izinkanlah kami untuk tinggal dan tidak ikut berperang”.
Mereka sangka alasan itu dah cukup cerdik. Tapi sudah semestinya, orang bodoh takkan merasakan dirinya bodoh. Dan alasan yang paling bodoh, bagi saya, ialah alasan lelaki itu; “Janganlah kamu, wahai Rasulullah, menjerumuskan aku ke dalam fitnah!”
Hari ini, ternyata kita mewarisi bayang-bayang Jadd Bin Qais. Bila datang seorang penyeru,
Paling hebat, kita tempa perisai kita dengan menggunakan besi-besi yang diambil daripada dasar al-Quran itu sendiri!
“Bro. La’ ikhra ha fiddin. Tidak ada paksaan dalam agama. Jadi biarlah kami nak beromen pun. Allah sendiri kata tak ada paksaan. Yang kau sibuk-sibuk nak paksa kami bertaubat ni kenapa?”
Tak pernah jumpa kerangka alasan sebegini? Jika tak pernah, anda akan jumpa jika anda ikhlas mahu menjadi kader dakwah.
Manusia yang jahil, sewenang-wenangnya memetik firman suci Tuhan dalam al-Quran untuk menjadi benteng yang menjaga kepentingan nafsunya! Tapi jangan hairan, apabila saya kata bahwa orang jahil yang menggunakan al-Quran sebagai cap halal bagi kemaksiatannya bukan hanya orang yang duduk tepi longkang sambil memeluk gitar, tapi yang lebih ramai ialah golongan manusia yang bercermin mata, memakai baju kemeja berjejalur, tali leher bergaris-garis, sambil tangannya memegang briefcase!
Ketahuilah, wahai orang-orang yang tersilap, bahwa sesungguhnya ayat ini ada asbabun nuzul (sebab penurunan) yang kita perlu tahu.
Mari kita lihat apa yang diceritakan oleh Ibnu Abbas, sebagaimana yang ditulis oleh Ibnu Katsir di dalam kitab tafsirnya; ‘Ayat ini diturunkan berkenaan dengan seorang lelaki Ansar dari kalangan Bani Salim ibnu Auf yang bernama Al-Husaini. Dia mempunyai dua orang anak lelaki yang beragama Nasrani, sedangkan dia pula seorang muslim. Maka dia bertanya kepada Rasulullah, “Adakah boleh aku memaksa mereka berdua memeluk agama islam? Kerana sesesungguhnya kedua mereka telah tekad tidak mahu memeluk agama apapun kecuali agama Nasrani”
Maka Rasulullah pun menjawab, dengan membacakan satu ayat yang baru diturunkan oleh Allah itu melalui perantara Jibril. Al-Baqarah ayat 256.
Maka jelas, bahawa yang dimaksudkan dengan ‘tak ada paksaan’ ialah tidak ada paksaan terhadap orang yang bukan islam untuk memeluk agama ini, dan bukannya tidak ada paksaan kepada orang islam untuk mereka sesuka hati dan sembereno membakul sampahkan ajaran-ajaran dan undang-undang dalam agama ini!
Hal ini ditegaskan dengan pendapat para ulama yang menyatakan wajib untuk diperangi orang-orang kafir itu, sehingga kepada dua jalan; mereka memeluk agama kita, ataupun mereka membayar jizyah kepada kerajaan islam. Tidak ada paksaan untuk memeluk agama ini, kerana mereka dibenarkan untuk beribadah dan mengamalkan ajaran agama mereka. Asal saja mereka patuh, dengan membayar jizyah.
Orang islam, sudah semestinya tidak layak untuk menggunakan alasan ini. Siapa kata kita tak ada paksaan untuk taat di dalam agama? Jika tidak, mengapa orang yang murtad, perlu dihukum bunuh jika tidak bertaubat? Jika tak, mengapa orang yang berzina dihukum sebat bagi mereka yang belum bernikah, dan dihukum rejam bagi yang sudah bernikah? Jika tak, mengapa golongan yang tidak membayar zakat diperangi masa pemerintahan Abu Bakar?
Mengapa ada sistem carrot and stick dalam agama ini, jika benar ada satu bahasa bernama ‘suka hati akulah’ sebagai salah satu tiangnya?
Jadi, jawapan kita mudah saja.
“Kamu salah faham ni. Yang sebenarnya, apabila kita sudah memeluk agama islam, kita ada kewajipan-kewajipan kita. Kita ada paksaan-paksaan daripada Tuhan, yang perlu kita patuhi. Umpama kita pergi ke Jepun. Kita perlu untuk patuh dengan undang-undang mereka. Kita tak bolehlah sesuka hati berbuat tanpa batasan. Begitulah hidup kita atas muka bumi ini. Bumi ini satu negara yang besar. Diperintah oleh satu raja yang Maha Berkuasa. Sebagaimana seharusnya sesebuah negara itu ada perundangannya, bumi ini juga punya undang-undangnya. Semua itu diperincikan satu per satu dalam dua sumber utama, al-Quran dan as-Sunnah. Maka, jika kita tak mahu patuh pada undang-undang bumi, maka usah tinggal di bumi! Duduklah di galaksi yang lain daripada bumi!”
Ada juga yang apabila diajak untuk melakukan tugas sebagai khalifah di muka bumi, dia beralasan; “Aku belum cukup ilmu lagi. Tak layak nak amar makruf nahi mungkar. Nanti bila aku sudah pandai, insya-Allah aku akan melakukan kewajipan ini. Nanti aku boleh ceramah dah, insya-Allah aku akan mulakan. Jangan risau. Aku tahu dakwah ni wajib”.
Heh, saya suka mengungkapkan semula apa yang Ustaz Salim A. Fillah pernah katakan di dalam buku ‘saksikan bahwa aku seorang muslim’;
“Ketahuilah, jika dakwah hanya ceramah, maka dunia hanya perlu lidah, tak perlu anggota badan yang lain!”
Tak lain dan tak bukan, ‘saya belum pandai’ hanyalah satu bahasa gedik kepada kata-kata, ‘saya belum mati’ kerana bersandarkan kepada kata-kata ulama salaf (yang seringkali kita faham sebagai hadis, tapi rupanya ia ialah kata-kata ulama salaf), “Tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad”.
Jika sistem sekolah, daftar masuk darjah satu dan daftar keluar pula darjah enam. Kiranya, atas kertas pendidikan sekarang, darjah satu ialah tempoh awal belajar dan darjah enam ialah tempoh habis belajar untuk sistem pendidikan rendah. Makna, lepas habis belajar barulah kita pandai.
Begitulah seorang muslim belajar. Jika diibaratkan ‘buaian’ itu sebagai awal-awal belajar, maka akhirnya nanti ialah ‘liang lahad’. Sesudah graduate dalam liang lahad, barulah ‘saya belum pandai’ akan menjadi ‘saya sudah pandai’. Kan?
Tapi memang kita nak tunggu sampai jasad ini kaku, barulah kita mahu buat kerja agama?
Saudaraku yang kukasihi kerana Allah.
Kita sebenarnya boleh sahaja menyenaraikan alasan-alasan manusia yang keras hatinya. Keras hatinya kerana tak suka melakukan apa yang Allah suruh sebaliknya mencintai pula akan apa-apa yang Allah larang. Teringat saya kata-kata Ustaz Pahrol di radio IKIM, bahwa manusia yang melakukan dosa ini ada empat peringkat.
Pertama, dia melakukan dosa dan dia merasa bersalah. Ini golongan yang akan bertaubat, kerana rasa bersalah itu menjadi bahang neraka yang sentiasa membuatkan dia rasa terbakar. Golongan kedua ialah golongan yang melakukan dosa, dan dia merasa biasa. Ini golongan yang profesional, iaitu golongan yang kompeten dalam melakukan dosa. Kerana sudah melazimi dan membudayakan dosa, kelakuan buruk itu menjadi kebiasaan baginya. Lalu, lenyaplah rasa bersalah dan diganti dengan rasa biasa.
Golongan ketiga pula ialah golongan manusia yang melakukan dosa, dan berasa seronok, cinta, dan manis dalam dosanya. Ini golongan manusia yang menanam bunga kasih sayang daripada najis dosa. Akhirnya, pohon yang tumbuh itu mengikat dirinya dengan dosa itu. Ini golongan yang merbahaya, kerana perasaan manis itu menyebabkan mereka tak mampu berhenti daripada terus menghisap walaupun dalam masa yang sama, dia tahu manis itu bukannya manis madu, sebaliknya manis itu ibarat manis air kencing si pesakit kencing manis!
Golongan terakhir dan paling buruk pula ialah golongan yang melakukan dosa, dan dia turut memperjuangkan dosa itu! Dilaburkan wang yang banyak untuk mempromosi dan mengangkat temasya dosa itu ke peringkat tertinggi. Habis segala keringat diperah demi mencapai misi jahiliyyahnya itu.
Dan golongan kedua hingga keempat inilah, golongan yang paling suka menolak ajakan kepada kebaikan. Mula-mula, beralasan seperti orang munafik. Akhirnya, berperang menentang dakwah, seperti halnya orang kafir!
Nah! Kita pilih nak jadi golongan yang mana satu. Seruan daripada Allah dan daripada Rasul-Nya sudah terlalu lama dibiarkan tak bersahut.
Jika masih mahu beralasan, buatlah. Jika mahu isytiharkan peperangan, isytiharkanlah.
Saya sudahi naskah ini dengan satu doa;
"Wahai Tuhan kami! Ampunilah kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman terlebih dahulu daripada kami, dan janganlah Engkau tanamkan kedengkian dalam hati kami terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Maha Penyantun, Maha Penyayang". (Al-Hasyr 10)
Posted by ..::aLMutAdAiyiNaH::.. at 2:34 AM 0 comments
Wednesday, July 11, 2012
Bahawa Aku Telah Berseru !
Posted by ..::aLMutAdAiyiNaH::.. at 2:21 AM 0 comments
Tuesday, April 24, 2012
~ Hanya DariMu Kekuatan Itu ~
Posted by ..::aLMutAdAiyiNaH::.. at 1:30 AM 2 comments