THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES

Sunday, August 19, 2012

Alasan Demi Alasan

Kita membuka kembali lipatan Sirah, dengan cahaya di tengah Kota Madinah menjadi laman ceritanya. Seorang lelaki, namanya Jadd Bin Qais. Saatnya perang Tabuk, dengan lawannya nanti ialah bangsa Romawi. Seruan jihad dilaungkan dan dinyalakan. Longgokan-longgokan infak, diperluaskan. Persiapan perang, digiatkan.

Lelaki itu datang kepada ketuanya. Dengan hati yang melarat menderita, dia berkata kepada lelaki mulia itu, “Ya Rasulullah. Berilah keringanan kepadaku. Sungguh, aku ini manusia yang mudah tergoda dengan kecantikan gadis-gadis Rom. Aku takut, keberadaan aku dalam legasi perang ini akan membuatkan aku terjerumus di dalam fitnah. Takut-takut, aku tak mampu mengawal diriku”.

Lelaki mulia itu berpaling seraya berkata, “Baiklah. Aku izinkan kamu”. 

Topeng kemunafikan yang disarung ternyata takkan berjaya membuatkan Tuhan keliru, tersilap dan tidak mengenali makhluk ciptaan-Nya. Sebagai jawapan dari langit, turunlah satu bahasa yang runcing;

Dan di antara mereka (yang munafik itu) ada yang berkata: "Izinkanlah aku (supaya tidak pergi berperang) dan janganlah engkau menjadikan daku dipengaruhi oleh fitnah ". Ketahuilah, mereka telah pun tercebur ke dalam fitnah (dengan dalihan yang dusta itu). Dan sesungguhnya azab Jahannam meliputi orang-orang yang kafir. (At-Taubah 49) 

Orang munafik ialah orang yang hidup dalam alasan. Makan berpinggankan alasan. Mandi bersabunkan alasan. Tidur juga beralaskan alasan. Alasan itulah yang menjadi perisai bagi mereka daripada menjauhi kewajipan dan alasan itu jugalah yang membuatkan mereka licik!

Surah At-Taubah benar-benar menjadi salah satu surah favourite untuk saya tadabburi. Salah satu sebab utamanya adalah kerana kepadatan kisah dan pengajaran kepada umat manusia berkenaan dengan satu kelompok manusia yang bersifat musang, dalam kandang ayam. 

Orang munafik, apabila datang satu seruan dan perintah untuk mereka meninggalkan kesedapan dan kelazatan dunia menuju kelazatan akhirat, mereka akan berasa berat hati. Bukan hanya hati, tapi juga punggung. Sehabis daya, dipergiatkan dan diperah otak memikirkan helah dan alasan untuk tidak ikut berperang di jalan Allah. Jiwa yang penuh dengan keraguan dan kedustaan, mana mungkin akan sanggup untuk bersusah payah demi agama. Padan muka. Akhirnya, Allah sendiri tidak mahukan manusia sebegitu menjadi hamba-hamba yang istimewa dan dijanjikan ‘istana’ derita buatnya di punggung neraka. 

Apa yang saya nak sebutkan di sini ialah sifat orang munafik yang suka membuat alasan untuk meninggalkan kewajipan dan meneruskan kemaksiatan, sebenarnya sedikit demi sedikit menitis masuk ke dalam peribadi kita. 

Di zaman Rasulullah, orang munafik ada yang cerdik dan ramai yang bodoh. Yang cerdik, antaranya ialah Abdullah Bin Ubay. Kerana hasutannya, 300 orang yang pada awalnya turut serta dalam pasukan prajurit islam, berundur. Yang kurang cerdik pula, golongan yang datang kepada Rasulullah dan membuat alasan, “Rumah kami terbuka dan tidak dijaga. Kerana itu, izinkanlah kami untuk tinggal dan tidak ikut berperang”.

Mereka sangka alasan itu dah cukup cerdik. Tapi sudah semestinya, orang bodoh takkan merasakan dirinya bodoh. Dan alasan yang paling bodoh, bagi saya, ialah alasan lelaki itu; “Janganlah kamu, wahai Rasulullah, menjerumuskan aku ke dalam fitnah!” 

Hari ini, ternyata kita mewarisi bayang-bayang Jadd Bin Qais. Bila datang seorang penyeru,

dengan menyeru kepada makruf dan mencegah kita daripada mungkar, mulut dan hati kita bekerjasama membina perisai alasan. 

Paling hebat, kita tempa perisai kita dengan menggunakan besi-besi yang diambil daripada dasar al-Quran itu sendiri!

“Bro. La’ ikhra ha fiddin. Tidak ada paksaan dalam agama. Jadi biarlah kami nak beromen pun. Allah sendiri kata tak ada paksaan. Yang kau sibuk-sibuk nak paksa kami bertaubat ni kenapa?”

Tak pernah jumpa kerangka alasan sebegini? Jika tak pernah, anda akan jumpa jika anda ikhlas mahu menjadi kader dakwah. 

Manusia yang jahil, sewenang-wenangnya memetik firman suci Tuhan dalam al-Quran untuk menjadi benteng yang menjaga kepentingan nafsunya! Tapi jangan hairan, apabila saya kata bahwa orang jahil yang menggunakan al-Quran sebagai cap halal bagi kemaksiatannya bukan hanya orang yang duduk tepi longkang sambil memeluk gitar, tapi yang lebih ramai ialah golongan manusia yang bercermin mata, memakai baju kemeja berjejalur, tali leher bergaris-garis, sambil tangannya memegang briefcase

Ketahuilah, wahai orang-orang yang tersilap, bahwa sesungguhnya ayat ini ada asbabun nuzul (sebab penurunan) yang kita perlu tahu. 

Mari kita lihat apa yang diceritakan oleh Ibnu Abbas, sebagaimana yang ditulis oleh Ibnu Katsir di dalam kitab tafsirnya; ‘Ayat ini diturunkan berkenaan dengan seorang lelaki Ansar dari kalangan Bani Salim ibnu Auf yang bernama Al-Husaini. Dia mempunyai dua orang anak lelaki yang beragama Nasrani, sedangkan dia pula seorang muslim. Maka dia bertanya kepada Rasulullah, “Adakah boleh aku memaksa mereka berdua memeluk agama islam? Kerana sesesungguhnya kedua mereka telah tekad tidak mahu memeluk agama apapun kecuali agama Nasrani” 

Maka Rasulullah pun menjawab, dengan membacakan satu ayat yang baru diturunkan oleh Allah itu melalui perantara Jibril. Al-Baqarah ayat 256. 

Maka jelas, bahawa yang dimaksudkan dengan ‘tak ada paksaan’ ialah tidak ada paksaan terhadap orang yang bukan islam untuk memeluk agama ini, dan bukannya tidak ada paksaan kepada orang islam untuk mereka sesuka hati dan sembereno membakul sampahkan ajaran-ajaran dan undang-undang dalam agama ini! 

Hal ini ditegaskan dengan pendapat para ulama yang menyatakan wajib untuk diperangi orang-orang kafir itu, sehingga kepada dua jalan; mereka memeluk agama kita, ataupun mereka membayar jizyah kepada kerajaan islam. Tidak ada paksaan untuk memeluk agama ini, kerana mereka dibenarkan untuk beribadah dan mengamalkan ajaran agama mereka. Asal saja mereka patuh, dengan membayar jizyah. 

Orang islam, sudah semestinya tidak layak untuk menggunakan alasan ini. Siapa kata kita tak ada paksaan untuk taat di dalam agama? Jika tidak, mengapa orang yang murtad, perlu dihukum bunuh jika tidak bertaubat? Jika tak, mengapa orang yang berzina dihukum sebat bagi mereka yang belum bernikah, dan dihukum rejam bagi yang sudah bernikah? Jika tak, mengapa golongan yang tidak membayar zakat diperangi masa pemerintahan Abu Bakar? 

Mengapa ada sistem carrot and stick dalam agama ini, jika benar ada satu bahasa bernama ‘suka hati akulah’ sebagai salah satu tiangnya? 

Jadi, jawapan kita mudah saja. 

“Kamu salah faham ni. Yang sebenarnya, apabila kita sudah memeluk agama islam, kita ada kewajipan-kewajipan kita. Kita ada paksaan-paksaan daripada Tuhan, yang perlu kita patuhi. Umpama kita pergi ke Jepun. Kita perlu untuk patuh dengan undang-undang mereka. Kita tak bolehlah sesuka hati berbuat tanpa batasan. Begitulah hidup kita atas muka bumi ini. Bumi ini satu negara yang besar. Diperintah oleh satu raja yang Maha Berkuasa. Sebagaimana seharusnya sesebuah negara itu ada perundangannya, bumi ini juga punya undang-undangnya. Semua itu diperincikan satu per satu dalam dua sumber utama, al-Quran dan as-Sunnah. Maka, jika kita tak mahu patuh pada undang-undang bumi, maka usah tinggal di bumi! Duduklah di galaksi yang lain daripada bumi!” 

Ada juga yang apabila diajak untuk melakukan tugas sebagai khalifah di muka bumi, dia beralasan; “Aku belum cukup ilmu lagi. Tak layak nak amar makruf nahi mungkar. Nanti bila aku sudah pandai, insya-Allah aku akan melakukan kewajipan ini. Nanti aku boleh ceramah dah, insya-Allah aku akan mulakan. Jangan risau. Aku tahu dakwah ni wajib”. 

Heh, saya suka mengungkapkan semula apa yang Ustaz Salim A. Fillah pernah katakan di dalam buku ‘saksikan bahwa aku seorang muslim’; 
“Ketahuilah, jika dakwah hanya ceramah, maka dunia hanya perlu lidah, tak perlu anggota badan yang lain!” 
Juga, adakah benar tanggapan ‘saya belum pandai’ itu lesen besar untuk kita dikecualikan daripada kerja-kerja agama? Sudah tentu tidak. Kerana jika pemahaman yang songsang ini diaplikasikan dalam sejarah, maka kita akan lihat bahwa kerja-kerja islam hanya akan dinisbahkan kepada beberapa orang tokoh sahaja. Tapi yang jelas, tiada seorang pun muslim sejati yang mengelak daripada amanah agama ini dan telah jelas juga, tiada seorang muslim sejati pun yang bersembunyi di balik kerudung alasan! 

Tak lain dan tak bukan, ‘saya belum pandai’ hanyalah satu bahasa gedik kepada kata-kata, ‘saya belum mati’ kerana bersandarkan kepada kata-kata ulama salaf (yang seringkali kita faham sebagai hadis, tapi rupanya ia ialah kata-kata ulama salaf), “Tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad”. 

Jika sistem sekolah, daftar masuk darjah satu dan daftar keluar pula darjah enam. Kiranya, atas kertas pendidikan sekarang, darjah satu ialah tempoh awal belajar dan darjah enam ialah tempoh habis belajar untuk sistem pendidikan rendah. Makna, lepas habis belajar barulah kita pandai.

Begitulah seorang muslim belajar. Jika diibaratkan ‘buaian’ itu sebagai awal-awal belajar, maka akhirnya nanti ialah ‘liang lahad’. Sesudah graduate dalam liang lahad, barulah ‘saya belum pandai’ akan menjadi ‘saya sudah pandai’. Kan? 

Tapi memang kita nak tunggu sampai jasad ini kaku, barulah kita mahu buat kerja agama? 

Saudaraku yang kukasihi kerana Allah. 

Kita sebenarnya boleh sahaja menyenaraikan alasan-alasan manusia yang keras hatinya. Keras hatinya kerana tak suka melakukan apa yang Allah suruh sebaliknya mencintai pula akan apa-apa yang Allah larang. Teringat saya kata-kata Ustaz Pahrol di radio IKIM, bahwa manusia yang melakukan dosa ini ada empat peringkat. 

Pertama, dia melakukan dosa dan dia merasa bersalah. Ini golongan yang akan bertaubat, kerana rasa bersalah itu menjadi bahang neraka yang sentiasa membuatkan dia rasa terbakar. Golongan kedua ialah golongan yang melakukan dosa, dan dia merasa biasa. Ini golongan yang profesional, iaitu golongan yang kompeten dalam melakukan dosa. Kerana sudah melazimi dan membudayakan dosa, kelakuan buruk itu menjadi kebiasaan baginya. Lalu, lenyaplah rasa bersalah dan diganti dengan rasa biasa. 

Golongan ketiga pula ialah golongan manusia yang melakukan dosa, dan berasa seronok, cinta, dan manis dalam dosanya. Ini golongan manusia yang menanam bunga kasih sayang daripada najis dosa. Akhirnya, pohon yang tumbuh itu mengikat dirinya dengan dosa itu. Ini golongan yang merbahaya, kerana perasaan manis itu menyebabkan mereka tak mampu berhenti daripada terus menghisap walaupun dalam masa yang sama, dia tahu manis itu bukannya manis madu, sebaliknya manis itu ibarat manis air kencing si pesakit kencing manis! 

Golongan terakhir dan paling buruk pula ialah golongan yang melakukan dosa, dan dia turut memperjuangkan dosa itu! Dilaburkan wang yang banyak untuk mempromosi dan mengangkat temasya dosa itu ke peringkat tertinggi. Habis segala keringat diperah demi mencapai misi jahiliyyahnya itu. 

Dan golongan kedua hingga keempat inilah, golongan yang paling suka menolak ajakan kepada kebaikan. Mula-mula, beralasan seperti orang munafik. Akhirnya, berperang menentang dakwah, seperti halnya orang kafir! 

Nah! Kita pilih nak jadi golongan yang mana satu. Seruan daripada Allah dan daripada Rasul-Nya sudah terlalu lama dibiarkan tak bersahut. 
Jika masih mahu beralasan, buatlah. Jika mahu isytiharkan peperangan, isytiharkanlah. 

Saya sudahi naskah ini dengan satu doa; 

"Wahai Tuhan kami! Ampunilah kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman terlebih dahulu daripada kami, dan janganlah Engkau tanamkan kedengkian dalam hati kami terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Maha Penyantun, Maha Penyayang". (Al-Hasyr 10) 

0 comments:

Post a Comment