THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES

Saturday, October 13, 2012

Sahabat


Satu persoalan yang penting untuk kita tanyakan kepada diri kita ialah, "Dengan siapa aku berkawan?"

Kawan. Sahabat. Rakan. Teman. Perkara yang sama, dengan tingkatan yang mungkin berbeza-beza. Ada yang akrab, yang rapat, dan ada yang biasa-biasa sahaja. Pun begitu, semua ini adalah perkara besar, yang seringkali dianggap kecil. Lantaran itu, kita jadi kurang peduli dengan siapa kita sering berteman, kerana beranggapan semua manusia sama. Yang penting, hati mesti mau baik! Wah, dah jadi macam artis dah kau Jah.

Setiap manusia, jika mahu menjadi manusia yang baik, dia takkan mampu untuk jadi baik secara individu. Dalam satu kumpulan contohnya, atau skop lebih kecil, dalam satu bilik atau rumah, jika semua ahli itu buruk, maka ianya hanya integrasi masa sahaja untuk si baik itu kehilangan warna putihnya. Tidak banyak, sedikit. Tidak sedikit, pasti juga akan ada yang tercemar.

Kerana itu, Rasulullah S.A.W seringkali bersadba tentang sahabat dan kawan. Antaranya ialah apabila Rasulullah membuat perumpamaan dan perbandingan bahwa sahabat itu cermin bagi seorang muslim. Cermin, kita tahu sifatnya bagaimana. Memantulkan imej.

Jika diletakkan bola di depan cermin, imej yang dilukiskan nanti ialah bola juga. Bulat. Tak jadi segi empat. Begitulah manusia. Jika baik sahabatnya, maka secara langsung atau tidak langsung, peribadinya juga akan menurut akan apa yang dipancarkan oleh riak itu.

Tapi ini tak bermakna, kita dilarang bersahabat dengan orang-orang buruk. Tidaklah maksudnya begitu. Adapun yang sebenarnya, di dalam bersahabat ini, ada satu perkara yang sangat besar, yang ulama usul sebutkan sebagai wala' dan bara'.

Jika kita mengaji usul, wala' dan bara' ini ialah satu cabang besar dalam ilmu usul. Ilmu tauhid. Tapi ia juga digunapakai dalam kehidupan sosial kita dalam berhubungan sesama manusia.

Wala' ialah mentaati manakala bara' ialah lawan kepada itu. Maknanya, di antara dua kelompok sahabat kita, antara yang baik dengan yang bermasalah, ada satu antara dua itu, layak dan lebih patut untuk kita berikan kepercayaan, loyal, dan kesetiaan kita.

Itulah dia manusia-manusia yang Allah sebutkan sebagai wa liijah; dan orang-orang beriman.

"Apakah kamu mengira kamu akan dibiarkan begitu sahaja padahal Allah belum mengetahui (belum menguji) orang-orang yang berjihad di kalangan kamu, dan tidak mengambil teman yang setia selain daripada Allah, Rasul-Nya, dan orang-orang beriman. Allah Maha Teliti atas apa-apa yang kamu kerjakan" (At-Taubah ayat 16)

Dalam ayat yang lain pula, Allah melarang kita daripada mengambil orang-orang yahudi dan kristian menjadi teman rapat kita untuk kita berkongsi setiap hal kita, kerana mereka itu golongan yang berpenyakit jiwanya. Bernajis keyakinannya.

Tapi hakikatnya bukan Yahudi dan Nasrani, tapi idealogi, cara berfikir dan cara hidup orang Yahudi dan Nasrani. Itulah tafsiran ulama pada perkataan millah pada ayat 120 surah al-Baqarah. Millah jika diterjemahkan bermaksud agama, tapi jika ditafsirkan ia bermakna suatu yang lebih signifikan daripada sekadar agama. Ini bolej juga jadi orang islam yang berfikiran barat. Inilah dia orang islam, yang hidup cara barat. Cara Yahudi dan cara Nasrani. Mereka juga golongan yang jangan kita berikan ketaatan dan kesetiaan kita pada mereka.

Pun begitu, islam sama sekali tidak menutup ruang untuk kita bersahabat dengan orang yang tidak seakidah dengan kita. Ruang yang sama besar itu juga Allah bukakan kepada kita, untuk kita bergaul dengan orang yang jahat dan fasik, tapi asalkan ia tidak menyebabkan kita makin jauh dengan Allah.

Seorang muslim yang bergaul dengan manusia serta bersabar dengan karenah mereka, adalah lebih baik daripada muslim yang tidak bergaul dan tidak bersabar dengan karenah manusia lainnya (H.R Tirmizi)

Bahkan, adalah lebih utama untuk kita bergaul dengan orang yang saya sebutkan di atas jika kita bergaul dengan maksud mahu berdakwah. Kata Rasulullah S.A.W, jika kita menjadi asbab (penyebab) kepada hidayah Allah masuk ke dalam hati mereka, maka ia adalah jauh lebih berharga daripada ribuan unta merah. Di zaman dahulu, unta merah sangatlah 'rare'. Bukan sekadar jarang-jarang, tapi seekor unta biasapun di zaman Baginda, menyamai nilainya hari ini dengan sebiji kereta mewah.

Dan Rasulullah S.A.W apabila membuat perbandingan, ternyata memaksudkan bahawa jika kita menjadi sebab orang lain dapat hidayah, maka kita seakan-akan telah mendapat kurniaan yang jauh lebih besar berbanding kekayaan-kekayaan yang kita boleh sebut satu per satu atas bumi ini.

Malangnya, setakat hari ini, saya seakan-akan melihat wujud dua suasana. Yang satu, positif dan yang keduanya negetif. Orang yang soleh, apabila mereka masuk ke tengah masyarakat yang buruk, mereka makin membuatkan masyarakat itu soleh.

Dan keduanya, orang yang soleh, tapi apabila dia berada di tengah-tengah masyarakat yang koyak nan rosak, akhirnya dia sendiri turut sama hanyut mengikut gelombang kerosakan.

Ini berlaku, kepada sesiapa sahaja. Baik budak sekolah agama, mahupun anak-anak ustaz yang diterapkan didikan agama. Kerana benar, jika di asrama, ada warden untuk menjaga. Benar, di rumah ada ibubapa untuk mengawal. Tapi jika di luar, jagaan dan pengawasan siapa lagikah yang ada jika bukan kawalan dan pengawasan oleh Allah S.W.T?

Sebiji buah epal yang manis, jika direndam dalam cuka berhari-hari, maka ia akan berubah rasanya menjadi masam. Begitulah perumpamaan manusia. Jika setiap saat dia berada dalam atmosfera yang tidak sihat, maka kita risau iman yang dahulunya sihat dan montel, jadi kurus dan lemah tanpa daya.

Itulah yang kita semua takut dan risaukan.

Jadi, antara mahu dan tidak mahu, kita perlukan kepada perubahan suasana. Ia bukan suatu yang mudah pastinya. Jika kita sendirian, maka hampir pasti ia jadi mustahil. Kerana itu, kita perlu kepada teman-teman yang baik. Yang soleh. Kerana jika misi, visi, obsesi dan cita-cita kita sama, maka kita akan bersama-sama juga bergerak untuk mencapai apa yang kita idamkan.

Jadi, apa cita-cita kita?

Tentunya ialah syurga yang tertinggi.

Sebenarnya ada banyak lagi dalil yang boleh kita petik untuk kita tegaskan lagi kepentingan untuk bersama-sama dengan orang yang soleh. Tapi itu bukan niat saya saat saya menulis artikel ini. Saya cuma mahu menyatakan betapa saya berbesar hati dan bergembira kerana saya masih dikelilingi dengan ramai orang yang soleh. Antaranya, kalian yang membaca. Sejujurnya, saya banyak mendapat kekuatan (hakikatnya kekuatan semuanya datang daripada Allah) melalui semangat kalian.

Selagi ada yang mahu menjadi lebih baik, selagi itulah saya akan menulis. Walau terpaksa mencuri masa, terpaksa mencuri peluang :)

Rasanya, tak pernah terlambat bagi saya untuk saya ucapkan terima kasih kepada kalian.

Harap kasih ini diterima.