THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES

Wednesday, July 11, 2012

Bahawa Aku Telah Berseru !


Rasa tertarik dengan satu kalam daripada Ustaz Hasrizal di fan page beliau. Beliau memang seorang agamawan yang Allah kurniakan dengan hikmah yang besar. Moga hikmahnya terbias kepada kita juga. Kata beliau; Apabila ditimpa ujian, ramai yang bertanya “Mengapa aku” tetapi bila diberi nikmat, mengapa tidak pula bertanya “Mengapa aku”? 

Ia membuatkan saya teringat kepada satu firman Allah; 

Adapun manusia, apabila diuji oleh Tuhannya dengan dimuliakan dan dimewahkan hidupnya, serta- merta dia berkata dengan sombongnya: "Tuhanku telah memuliakan daku!". Dan sebaliknya apabila ia diuji oleh Tuhannya dengan disempitkan rezekinya, (ia tidak bersabar bahkan ia resah gelisah) serta mengeluh dengan katanya: "Tuhanku telah menghinakan daku!" (Al-Fajr 15 dan 16) 

Sungguh. Kita terlalu cepat melatah. Sekiranya apa yang kita mahukan tidak tertunai dan tidak diberi oleh Allah, kita berburuk sangka dengan-Nya. Putus asa untuk terus memerah ketaatan. Kita taat kepada Allah seperti ketaatan seorang pekerja kepada majikannya. Kita bekerja hari-hari dengan perkiraan, hujung bulan gaji mesti masuk. Atas perkiraan bahwa ada keutungan segera yang akan diperoleh, kita dimotivasikan untuk bergerak ke tempat kerja dengan meninggalkan segala kenikmatan di rumah. Maka sekiranya perkiraan itu tidak tercapai, maka menyerbulah segala macam persangkaan yang buruk terhadap majikan kita. Bencilah! Menyampahlah! Dan akhir sekali, “Saya resign!”. Jika begitulah hubungan kita dengan Allah, maka kita akan bermasalah besar kerana ketaatan yang kita lunjurkan ialah ketaatan yang bersyarat! 

Padahal, Allah ialah Tuhan Yang Maha Kaya. Dia mampu memberi segala-galanya yang kita mahu. Kerana itu, diciptakan syurga kepada hamba-Nya. Nanti kalau dah masuk syurga, apa benda yang kita nak semua akan kita dapat. Tak payah meminta pun. Lintas saja keinginan dalam hati, benda tu dah ada depan mata. 

Tapi dunia ini bukan syurga. Kerana di dunia, Allah tidak akan memberi segala-gala yang hamba-Nya mahu, sebaliknya Allah memberi kepada hamba-Nya, segala yang hamba-Nya perlukan agar nanti kita tidak punya alasan untuk berdebat dengan Allah sekiranya kita dimasukkan dalam golongan ahli neraka. Tiada alasan.

Antara kurnia Allah yang paling besar ialah hidayah dan taufiq. Ini keperluan. Jarang sekali ia menjadi kehendak (yang dicari oleh manusia). Hidayah dan taufiq ialah syarat utama untuk kita bahagia di dunia dan di akhirat. Tetapi ramai yang rabun, tidak nampak kepentingannya. Mereka tidak meminta untuk diberi petunjuk, sebaliknya mereka meminta agar dibanjiri harta (murah rezeki), panjang usia (boleh enjoy lama), diberi kesihatan (untuk enjoy juga), dan macam-macam kehendak lagi yang kadangkala merepek-repek dan tidak perlu. Semuanya tak lepas daripada kepentingan-kepentingan dunia!



Dengan hidayah, seseorang sanggup untuk taat kepada-Nya walaupun terpaksa melalui jalan yang sukar. Tapi jika tanpa hidayah, seinci pun seseorang itu takkan mampu untuk mendekati ketaatan, walaupun dia mempunyai sejuta macam kemudahan. Bahkan jika dibentangkan jalan yang seluas-luasanya pun kepadanya, belum tentu dia akan maju kehadapan. Semuanya kerana hatinya tidak dicahayai oleh hidayah. 

Sesiapa yang mahu diberikan kebaikan oleh Allah, maka diberikan kepadanya kefahaman dalam agama. (Riwayat Muslim) 

Kefahaman dalam agama tidak bererti ketinggian pengetahuan dalam agama. Tahu dan faham ialah dua perkara yang tak sama. Jika seseorang tahu, belum tentu dia faham tetapi jika seseorang itu faham maka sudah tentu dia tahu. Inilah yang membuatkan darjat seseorang itu berbeza di sisi Allah. 

Saya bagi satu situasi. Siapa antara kita yang tidak tahu bahawa mengerjakan solat fardu secara berjemaah bagi lelaki, hukumnya fardu kifayah dan dibalasi dengan 27 kali ganda pahala? Saya yakin semua orang tahu. Tapi kenapa bukan semua orang mahu ke masjid atau surau untuk berjemaah? Nak kata tak tahu, mereka tahu. Cuma satu. Mereka mungkin tak faham. 

Ramai yang berkata, “Kau bolehlah datang kuliah selalu. Rumah dekat dengan surau”.Tak kurang juga yang bergurau, “Kau lahir dari keluarga yang baik. Memang patutlah kau baik. Aku orang biasa-biasa je”. 

Paling menarik, “Kau budak sekolah agama. Aku bukan budak sekolah agama!”. Uik! Sampai macam tu sekali manusia dibeza-bezakan! 

Allah memberi hidayah bukan atas kapasiti dekat atau jauhnya kita dengan pusat ilmu atau rumah ibadah. Masa saya tinggal di daerah -yang saya tak mahu sebutkan namanya itu- saya memahami bahawa bukan jarak yang menjadi sebab seseorang itu mampu hadir ke solat berjemaah, tetapi sebabnya ialah kekuatan iman. Kerana jika dikira jarak, maka saya akan katakan hampir semua orang yang tinggal di apartmen saya itu akan turun untuk berjemaah. Dekat sangat, kerana surau itu terletak di tengah-tengah dan dikelilingi oleh blok-blok yang bersusun megah. Bahkan, tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa jika muazzin melaungkan azan, semua orang akan mendengar panggilan Ilahi ini. 

Tapi kenapa yang menyahut seruan Allah itu, hanya pecahan yang kecil sahaja? Sangat minoriti. Padahal, semua mendengar seruan azan itu. 

"Sesiapa yang suka untuk menemui Allah di hari akhirat nanti sebagai seorang muslim, hendaklah dia memelihara solat setiap kali diserukan kepadanya, kerana menegakkan solat berjemaah itu ialah 'sunanul huda'. Sesungguhnya Allah telah mensyariatkan kepada Nabi mu beberapa sunnah. Sekiranya kamu enggan berjemaah dan lebih suka solat bersendirian di rumah, maka kamu telahpun meninggalkan sunnah Nabimu. Jika kamu meninggalkan sunnah Nabimu, maka tentulah kamu sesat". (athar Abdullah Bin Mas’ud). 



Dalam masa yang lain, acap kali kita melihat orang islam singgah ke surau. Bukan untuk solat, tapi untuk menggunakan tandas. Dah sampai tu! Ini bukannya tak sampai, tapi dah sampai. Tapi kenapa hatinya tidak tergerak untuk menunaikan solat? Jelas, ini bukannya isu dekat atau jauh tetapi ini isu iman. 

Hidayah juga bukan dinilai atas kapasiti ilmu. Jika perkiraannya atas selembar sijil, maka berduyunlah ustaz-ustaz di daerah ini akan melakukan kerja dakwah. Ini tak berlaku. Setidak-tidaknya, tidak berlaku di daerah terpencil itu. Tak payah kata dakwah, solat berjemaah pun payah nak nampak batang hidung para agamawan yang punya ilmu agama di bawah kopiah mereka ini. Kelibat mereka hanya senang untuk dilihat di kedai kopi. Jika bukan menonton perlawanan badminton atau bola sepak, mereka akan bersembang sambil mengetuk-ngetuk meja. 

Hidayah bukan atas perkiraan siapa makin berilmu, dia makin baik. Tak semestinya begitu, walaupun Rasulullah S.A.W pernah bersabda bahawa para ulama ialah pewaris para nabi. Tapi pewaris nabi apa kebendanya jika sunnah Nabi yang utama seperti solat berjemaah pun tak buat, sebaliknya buat benda lagho pula. Menyedihkan! 

Hidayah juga kayu ukurnya bukan atas faktor perdu kekeluargaan. Banyak keluarga yang dikepalai oleh ibubapa yang baik-baik. Haji dan hajjah. Si bapa berjanggut panjang. Berkopiah setiap masa. Ibunya pula bertudung labuh. Tapi bila keluar bersama anak menantu, anaknya berbaju ketat dan membiarkan rambutnya berbogel manakala menantunya yang lelaki pula berseluar pendek dan menampakkan kepala lutut. Tidak enak sungguh untuk dipandang, tapi itu realiti.

Nabi Luth dan Nabi Nuh, isteri dan anak mereka juga tidak beriman, padahal Luth dan Nuh ialah Rasul yang diutuskan oleh Allah. 

Bahkan ada banyak situasi yang berlaku dalam masyarakat sejak dahulu hingga kini, ibubapanya tunggang terbalik tetapi si anak baik macam malaikat. Ini membuktikan bahawa hidayah bukan suatu yang diukur atas pertalian darah. 

Sekarang, renung diri kita. Apa baiknya kita ini? Apa hebatnya kita ini, sampai Allah mahu berikan kita kemuliaan dengan kita menjadi seorang muslim yang komited dengan agama. Komited dengan agama sudah tentu bukan dengan bila dengar azan, kita buat tak reti. Komited dengan agama juga bukan dengan bila nampak masalah dalam masyarakat, kita buat tak nampak. Komited dengan agama juga bukan dengan sentiasa menimbulkan alasan untuk lari daripada kewajipan. Tidak. 

Jika kita tidak mahu menjadi orang islam yang komited dalam agama, mengapa membaca bab ini? Bab ini mahu menceritakan tentang betapa besarnya nikmat diberi hidayah dan betapa besar keutamaan untuk meminta Allah berikan kita hidayah! 

Allah boleh pilih sesiapa sahaja untuk menjadi tetamu istimewa-Nya dalam syurga. Tapi kenapa Allah pilih kita? Tidakkah kita rasa beruntung? Pertama, kita sudah dilahirkan sebagai seorang yang beragama islam. Kedua, kita diberi pula kesedaran dan hidayah. Padahal, ramai lagi manusia yang hanyut dan lalai. Adakah kita mahu ikut mereka? Mahu hanyut, mahu lalai, padahal Allah sudah berikan petunjuk kepada kita? 



Ramai antara kita yang suka menyorok di tirai alasan, “Aku bukannya tak nak berubah, tapi belum sampai seru lagi. Belum dapat hidayah lagi”, sambil tersenyum sumbing, memotretkan kedegilan.

Seru belum sampai? Hidayah belum dapat? Betul ke macam tu?

Jangan. Jangan fitnah Allah. Jangan fitnah Rasulullah. Jangan! 

Sesungguhnya seru dan hidayah, sudah 1400 tahun yang lampau bergema. Mungkin gemanya sahaja yang berbeza. Mungkin lirihnya sahaja yang tak sama. Tapi mesejnya tetap lestari. Seruannya tetap asli- mengajak manusia kepada Allah Yang Maha Penguasa. 

Penyanyi, Farah Asyikin pernah berkongsi di rancangan televisyen TV al-Hijrah, tentang saat-saat awal dia berubah dan menyarung tudung, seterusnya menutup aurat zahir beliau. Ketika ditanya bagaimana dan mengapa hatinya mula tergerak untuk insaf, dia menceritakan; 

“Saya seakan-akan melihat ada lintasan di depan mata saya, yang menunjukkan dosa-dosa silam saya. Ia seakan-akan satu layar maya, yang memutarkan semula khilaf-khilaf saya. Ia suatu yang sangat aneh. Jika saya cerita, mesti orang susah nak percaya. Tapi itulah yang berlaku”. 



Seorang artis lain, Yatt pula menceritakan pengalaman beliau saat melakukan solat sunat taubat, beliau merasakan seperti dahinya terlekat pada muka sejadah hingga beberapa ketika. Dalam masa yang sama, dia juga dipertontonkan dengan layar maya, dosa-dosa silamnya. Ini cerita dari surat khabar. Tak percaya, boleh tanya tuan punya badan. 

Dua contoh yang cukup istimewa, tentang dua wanita yang juga sangat istimewa, dan dijadikan istimewa oleh Allah. Mereka berdua, diberikan petunjuk dan hidayah melalui cara yang luar biasa. Fenomena yang cukup ajaib dan sukar hendak diceritakan dengan lisan, apatah lagi logik akal manusia yang singkat ini. 

Mereka bertuah. Kerana dibawa masuk seketika dalam kondisi ghaib, mereka tersedar daripada lena dan dosa kelmarin. Tapi sebenarnya itu langsung tidak boleh menjadi hujjah bahawa hidayah itu mesti datang dalam bentuk yang aneh-aneh sahaja! 

Jangan sampai terdetik dalam hati kita; 

“Selagi belum bermimpi kena bakar dengan api neraka, selagi itulah aku tak perlu berubah. Aku okey lagilah tu!” 

Jangan! 

Tidaklah patut manusia berasa hairan (takjub) bahwa Kami telah mewahyukan kepada seorang lelaki dari jenis mereka (Nabi Muhammad, dengan berfirman kepadanya): "Berilah amaran kepada umat manusia (yang ingkar, dengan balasan azab) dan sampaikanlah berita yang mengembirakan kepada orang-orang yang beriman, bahawa bagi mereka ada persediaan yang sungguh mulia di sisi Tuhan mereka. (Setelah Nabi Muhammad memberi amaran dan menyampaikan berita yang mengembirakan) berkatalah orang-orang kafir (yang merasa hairan) itu: "Sebenarnya (Al-Quran) ini ialah sihir yang terang nyata." (Yunus 2). 

Islam bukan agama yang didirikan atas dasar hairan. Islam ialah agama yang solid. Tiangnya daripada hujjah yang mantap, bukan daripada lidi emosi. Atapnya daripada dalil yang mapan, bukan daripada kapas persangkaan. 

Adakah apabila melihat awan membentuk kalimah Allah, baru kita mahu beriman? Adakah kita menunggu corak bulu-bulu di badan kambing untuk membentuk kalimah Muhammad, baru kita percaya tentang kerasulan Baginda? Apakah kita tertunggu-tunggu kita bermimpi, diberi lintasan atau melihat logamaya tentang kejelekan-kejelekan kita, barulah kita mahu bertaubat? Atau adakah kita mahu menunggu datangnya ribut Tsunami dalam keadaan kita ketakutan sambil berlindung di dalam masjid, dan berharap ombak raksasa yang sebesar bukit itu memukul lembut tanpa sikit pun mencemarkan masjid, barulah kita mahu akur bahawa islam agama yang sebenar? Jika tidak pun, adakah kita mahu menunggu fenomena sejadah bersolat, barulah kita mahu bersolat? 

Kenapa perlu dikaitkan hidayah dengan fenomena-fenomena aneh, misteri, mistik, dan paranormal ini? Tidakkah kita mahu meniru perangai orang kafir yang menunggu-nunggu keajaiban dan perkara-perkara aneh timbul di hadapan mereka, barulah mereka mahu berkata, “Allah telah memberikan aku hidayah!” 

Adakah dengan tidak menimbulkan ketakjuban dan kehairanan, bererti hidayah belum sampai? 

Hidayah dan seruan sudah berkemundang sejak dahulu. Sejak kita baligh, sampai sekarang. Saat kita tidur, makan, bekerja, bersama keluarga, setiap usia kita yang berlalu, tidak terpisah kita dengan seruan dan hidayah. 

Bezanya, kita memilih untuk memejamkan mata hati dan menutup telinga nurani. Kita sendiri yang melupakan, tidak menyambut, mengabaikan, dan membakul sampahkan petunjuk-petunjuk dan seruan-seruan itu! 

Dan tidak datang kepada mereka peringatan serta pengajaran yang dari (Allah) Ar-Rahman, melainkan mereka tetap berpaling mengingkarinya. (Qaf 2). 

Hidayah sudah lama menari-nari di depan kelopak matamu. Seru yang ditunggu, sudah lama berdesir di cuping telingamu. Jika kali ini kamu masih bertangguh dan beralasan, ketahuilah bahawa aku berlepas diri daripada kewajipanku. 

Lembaran kertas ini menjadi saksi, bahwa aku telah berseru!