Istidraj ini adalah satu kalimah,
yang sering menunjuk kepada keadaan seseorang itu yang terus dilimpahkan rezeki
dan kejayaan yang melimpah ruah dalam kehidupannya, walaupun dia bukan hamba
ALLAH yang taat, malah seorang pembuat maksiat yang tegar. Kenapa mereka ini
dinamakan manusia yang mendapat istidraj? Apakakah maksud istidraj?
Istidraj adalah, apabila ALLAH
memberikan kejayaan, harta kekayaan, rezeki yang melimpah ruah untuk manusia
itu menjadi lebih jauh dariNya.
Biasanya, manusia yang mendapat
istidraj ini adalah mereka yang tidak berusaha menjalankan ISLAM dalam
kehidupan, juga tidak berusaha mengenali ALLAH SWT.
Contoh manusia yang mendapat
istidraj ini banyak. Kita lihat contoh yang mudah. Qarun. Apakah anda kenal
kepada Qarun? Dia ini adalah seorang manusiayang teramat kaya. Diriwayatkan
bahawa, kotak yang mengisi kunci kepada gedung-gedung perbendaharaannya tidak
mampu diangkat oleh orang-orang yang kuat. Hal ini hendak menyatakan betapa
kayanya dia.
Kisah Qarun terdapat di dalam Al-Quran.
Hartanya melimpah ruah. Segala perniagaannya menjadi. Segala pelaburannya
mengembang. Hartanya makin hari makin bertambah, sedang yang bertambah semalam
tidak pula luak digunakan.
Tetapi bila Nabi Musa cuba
mengingatkannya berkenaan semua kekayaannya itu datang daripada ALLAH, maka
Qarun dengan angkuh menjawab,
“ Tidak, semua ini adalah hasil dari
ilmuku”
Lihat. Lihat apa kata Qarun. Tidak,
semua ini adalah hasil dari… ILMUKU. Dia nyata semakin jauh dari ALLAH,
walaupun kekayaannya menjadi, rezekinya melimpah ruah dan sebagainya. Dia saban
waktu memperlekehkan pengikut-pengikut nabi Musa yang terdiri dari orang miskin
dan hamba.
Apakah pengakhiran Qarun? Dia
akhirnya ditenggelamkan ALLAH ke dalam bumi dengan seluruh hartanya. Kisah ini
terdapat di dalam Al-Quran.
Nah… Apakah itu yang kita mahu?
Sebab itulah, saya hendak mengajak
saudara-saudari berfikir, apakah yang akan timbul di dalam hati kalian apabila
kalian ini jenis yang melazimi dosa-dosa, melakukan maksiat, kemudian kalian
berjaya di dalam peperiksaan atau perniagaan. Apakah yang agaknya akan timbul
dalam jiwa kalian?
Saya yakin, 99% akan merasa begini,
“ Tengok, aku tak solat pun berjaya. Siapa kata solat tu bawa kejayaan?”
Apakah yang akan terjadi kepada anda
ketika itu? Anda berjaya, tetapi anda semakin jauh dari ALLAH. Itulah istidraj.
Maka jangan gusar bila tidak
berjaya. Cuba lagi. Hubungan keimanan anda dengan ALLAH itulah yang pertama
sekali perlu anda perhatikan. Jika anda berjaya membina hubungan keimanan yang
baik, insyaALLAH, datanglah badai apa sekalipun, anda akan mampu melaluinya.
Sebenarnya ALLAH suka menguji
hamba-hambaNya yang beriman. Terdapat satu kisah yang saya suka baca ketika
saya masih kecil.
Terdapat dua orang nelayan. Seorang
penyembah berhala, dan seorang lagi muslim yang taat kepada ALLAH. Ketika
menebar jala, yang menyembah berhala menyebut nama berhalanya, manakala yang
muslim membaca bismillah. Bila jala diangkat, yang menyembah berhala mendapat
banyak ikan, manakala yang muslim, hampir sahaja tiada ikan untuknya pada hari
itu.
Malaikat yang melihat keadaan itu
bertanya kepada ALLAH.
“ Ya ALLAH, apakah yang telah
berlaku? HambaMu yang menyekutukanMu, KAU berikan dia rezeki yang banyak,
sedangkan hambaMu yang menyebut namaMu, KAU tidak memberikan DIA apa-apa”
ALLAH menjawab,
“ Yang menyekutukanKu, tempatnya
memang sudah pasti NERAKA. Maka apalah sangat rezeki yang pasti akan hancur itu
jika Kuberikan kepadaNya? Tetapi HambaKu yang beriman itu, AKU hendak
mengganjarkanNya syurga, maka AKU suka mengujinya untuk melihat kebenaran
imanNya”
Nah, jangan anda kecewa bila diuji,
tidak berjaya di dalam peperiksaan walau sudah studi, gagal dalam perniagaan
walau kemas menyusun strategi. Itu semua adalah sebahagian dari ujian ALLAH.
ALLAH menguji hanya untuk mereka yang dikasihi. Bukankah ALLAH SWT ada
berfirman,
“ Apakah kamu mengira KAMI akan
membiarkan kamu berkata kami beriman sedangkan kamu belum diuji?…”
Jika gagal terhadap satu-satu
perkara, itu hanya perkara itu. Anda masih belum gagal dalam kehidupan.
Teruskan usaha, selagi nyawa masih ada. InsyaALLAH ALLAH akan memberikan
sesuatu yang bermakna kepada anda. Bersangka baiklah kita kepada PENCIPTA kita.
Maka sebenarnya, bila hidup kita
digegarkan dengan masalah, hendaklah kita rasa bersyukur. Tandanya, ALLAH masih
lagi dekat dengan kita. Ujian adalah tanda kasih sayang dan perhatianNya kepada
kita.
Mustahil anda suka senang sebentar
di dunia, di akhirat yang kekal abadi nanti anda merana. Anda mahukan istidraj?
Ana yakin tidak..
Anda tenang sekarang?
Anda wajib untuk tidak berasa tenang
jika anda berbuat dosa, dan anda berjaya. Sebab itulah, muhasabah diri itu
penting. Untuk kita sentiasa periksa bagaimanakah hubungan kita dengan ALLAH
SWT.
“Aku berdosa, tetapi aku berjaya….”
Berhati-hatilah kita agar jangan sampai lafaz itu, atau lafaz-lafaz yang
membawa maksud serupa itu terkeluar dari mulut kita.
Mari kita sama-sama duduk, dan
bermuhasabah semula.